SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor memantau perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang berpotensi berlakunya sebarang bencana alam.
EXCO pengurusan bencana berkata Unit Pengurusan Bencana sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapat maklumat terkini keadaan cuaca.
“Proses pemantauan sentiasa dilakukan kerana cuaca tidak menentu ketika ini dan kita juga siap siaga sekiranya berlaku insiden tidak dijangka,” kata Mohd Najwan Halimi kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_610520" align="alignnone" width="799"] EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi menaiki bot penyelamat bomba pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneliti semula setiap kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kita akan memastikan semua PPS yang dibuka sekiranya berlaku bencana mesra warga emas dan orang kurang upaya. Kemudahan, keperluan, penginapan dan perlindungan diberikan mestilah tidak menafikan hak golongan tersebut.
“Oleh itu, kita akan pastikan PPS terdiri daripada sekolah dan dewan beri kemudahan yang baik dan kita akan tambah baik jika perlu,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Najwan dalam sidang Dewan Negeri memaklumkan sebanyak 1,152 PPS diwartakan sebagai persediaan menghadapi bah di Selangor.
Jelasnya, pewartaan itu dibuat JKM Selangor dengan PPS itu disiapkan mengikut garis panduan.