AGENDA

Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor gilap lebih ramai atlet emas

10 Sep 2024, 12:25 AM
Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor gilap lebih ramai atlet emas
Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor gilap lebih ramai atlet emas

KLANG, 10 SEPT: Selangor akan meningkatkan program pembangunan dan latihan atlet menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 termasuk menggilap lebih ramai atlet emas dalam temasya sukan dwitahunan itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata sebanyak 50 hingga 60 peratus atlet yang menyertai SUKMA di Sarawak masih berpotensi untuk bertanding selain menampilkan bakat baharu.

"Kita akan menggilap pemenang pingat perak dan gangsa pada temasya di Sarawak baru-baru ini supaya meraih emas pada kejohanan akan datang. Kita juga akan mencungkil bakat baharu untuk mewakili negeri.

"Usaha perlu bermula dari sekarang. Kita berdepan dengan dua cabaran iaitu menjadi tuan rumah dan persiapan atlet yang akan beri saingan pada kejohanan akan datang.," katanya.

Beliau ditemui pada majlis santapan tengah hari Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama pemenang pingat emas SUKMA Sarawak di Istana Alam Shah di sini semalam.

Beliau berkata sebanyak 27 acara sukan teras akan dipertandingkan antaranya olahraga, badminton, bola sepak, hoki, akuatik dan memanah.

"Sukan tambahan seperti catur, kabaddi, silambam dan sukan elektronik (e-sports) yang dipertandingkan pada SUKMA Sarawak juga akan dipertimbangkan," katanya.

SUKMA ke-21 berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Pada 3 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif sehingga RM10,000 kepada atlet yang meraih pingat emas.

Ganjaran RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang), peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya sama pada 2022.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) berkenan bertemu atlet Selangor yang memenangi mas SUKMA pada majlis santapan di Istana Alam Shah, Klang pada 9 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR