AGENDA

Projek awam-swasta pacu ekonomi Selangor, buka peluang kerja meluas

9 Sep 2024, 8:24 AM
Projek awam-swasta pacu ekonomi Selangor, buka peluang kerja meluas
Projek awam-swasta pacu ekonomi Selangor, buka peluang kerja meluas

SEPANG, 9 SEPT: Pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta (PPP) membantu memacu ekonomi Selangor dan membuka peluang kerja kepada rakyat, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, ia termasuk projek yang membawa manfaat signifikan antaranya Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Shah Alam-Ulu Kelang, Lebuhraya Damasara-Shah Alam dan Lebuhraya Setiawsangsa-Pantai.

Projek lain, katanya, Balai Bomba Kinrara, sistem e-tanah, tapak pelupusan sanitari Bukit Tagar, Universiti Teknologi Mara Puncak Alam dan Dengkil serta pelabuhan Barat dan Utara.

"Projek PPP ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dengan menambah baik kemudahan infrastruktur utama, malah memberi manfaat sosial yang signifikan.

“Contohnya, projek pembesaran terminal kontena C10 hingga C17 di Pelabuhan Barat dengan impak ekonomi RM55 bilion serta menyumbang RM19 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya.

[caption id="attachment_662491" align="alignleft" width="446"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Sepang pada 9 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berucap pada majlis peluncuran PIKAS 2030 di sini hari ini, yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek awam-swasta.

Pada masa sama, Amirudin berkata projek itu akan membuka 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa dan kesan limpahan ekonomi serta sosial bakal dinikmati rakyat keseluruhannya.

PIKAS diperkenal untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan menguruskan cabaran fiskal, dengan menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh serta mampan untuk kesejahteraan negara.

Dijangka meningkatkan pelaburan swasta kepada RM78 bilion, pelan itu kesinambungan dasar dan garis panduan kerjasama awam-swasta sedia ada yang diberi nilai tambah, dengan hala tuju lebih jelas.

Merangkumi empat teras dan 17 inisiatif strategik, PIKAS juga bakal mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dan menjana sumbangan ekonomi sebanyak RM82 bilion.