SEPANG, 9 SEPT: Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) membantu Selangor merencana pembangunan negeri supaya kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.
Dato’ Menteri Besar berkata usaha tersebut penting berikutan kemudahan awam mega dimiliki negeri itu seperti lebuh raya, institusi pendidikan, infrastruktur awam dan lapangan terbang.
“Hasil kerjasama erat antara negeri dan persekutuan, kita berjaya meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 25.9 peratus pada 2023 dan dijangka akan terus bertambah.
“(Justeru), Selangor akan sedia berganding tangan dan bersedia menyahut pelaksanaan pelan ini demi kesejahteraan rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
[caption id="attachment_662491" align="alignleft" width="451"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Sepang pada 9 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berucap pada majlis peluncuran PIKAS 2030 di sini hari ini, yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek awam-swasta.
Dalam pada itu, Amirudin menambah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berkait rapat dengan PIKAS, yang menitikberatkan inisiatif dan projek kerajaan serta swasta.
“Melalui penyenaraian, penyusunan dan koordinasi projek ini, kita dapat bangunkan negeri yang tepu bina seperti regenerasi atau membangun semula kawasan bandar yang wujud sejak 1970-an,” katanya.
PIKAS diperkenal untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan menguruskan cabaran fiskal, dengan menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh serta mampan untuk kesejahteraan negara.
Dijangka meningkatkan pelaburan swasta kepada RM78 bilion, pelan itu juga kesinambungan dasar dan garis panduan kerjasama awam-swasta sedia ada yang diberi nilai tambah, dengan hala tuju lebih jelas.
Merangkumi empat teras dan 17 inisiatif strategik, PIKAS juga bakal mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dan menjana sumbangan KDNK sebanyak RM82 bilion.


