ad
BERITA UTAMA

Selangor tunggu garis panduan kementerian tubuh pusat data skala besar

6 Sep 2024, 12:00 AM
Selangor tunggu garis panduan kementerian tubuh pusat data skala besar
Selangor tunggu garis panduan kementerian tubuh pusat data skala besar

Oleh Danial Dzulkifly

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Selangor menunggu garis panduan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menubuhkan pusat data berskala besar di negeri ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata ia bakal disiapkan dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pemain industri utama, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Banyak persoalan mengenai kebolehan negeri membina lebih banyak pusat data, yang memerlukan banyak tenaga dan air, selain keperluan melihat kesannya terhadap ekonomi dari segi pekerjaan.

“Tetapi secara keseluruhan, saya yakin bahawa negeri ini mempunyai pemain dan vendor tempatan yang mencukupi yang boleh menyokong pusat-pusat ini," katanya dalam satu program, petang semalam.

Dalam pada itu, Sze Han menjelaskan Selangor juga berusaha menubuhkan lebih banyak firma reka bentuk litar bersepadu di negeri ini berbanding hanya menarik pengeluar cip.

[caption id="attachment_650693" align="aligncenter" width="815"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena sesi perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Katanya, Selangor enggan bersaing dengan Pulau Pinang dan Kedah yang berpengalaman luas dalam pembuatan cip, sebaliknya melengkapkan keseluruhan ekosistem cip di negara ini.

Beliau turut mendedahkan pelbagai projek ekonomi utama akan dimasukkan dalam versi kedua Rancangan Selangor, yang akan diumumkan pada suku keempat 2025 atau suku pertama 2026.

“Pastinya, semua zon dan projek pembangunan ekonomi utama akan dimasukkan dalam RS-2, kerana projek-projek ini akan mengambil masa lebih lima tahun untuk direalisasikan,” katanya.

Tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat dari Singapura, RDA Ventures Pte. Ltd bagi membangunkan tiga pusat data di Cyberjaya.

Disertai agensi besar termasuk MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, pusat terbabit bakal menawarkan peluang kerja dalam bidang elektronik, sains komputer, statistik dan pentadbiran.

Sebelum ini, Sze Han berkata Selangor yang memiliki 18 pusat data menerima permintaan tinggi pelbagai pihak, namun perlu meneliti lanjut terutama kesediaan bekalan tenaga.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.