SHAH ALAM, 5 SEPT: Buaya tembaga jantan seberat 20kg yang berjaya ditangkap di Tasik Seksyen 7 di sini, malam tadi dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil untuk pemeriksaan lanjut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berkata ia bagi memastikan reptilia tersebut tidak berpenyakit sebelum dipindahkan ke habitatnya.
“Buaya yang kita selamatkan akan dipindahkan ke kolam di Paya Indah Wetlands dan dipastikan dalam keadaan baik sebelum dilepaskan ke habitatnya,” kata Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh ketika dihubungi.
Ditanya faktor utama kejayaan tangkapan haiwan itu, jelasnya, penutupan sementara kawasan tasik dan taman oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan operasi pemburuan.
[caption id="attachment_661732" align="aligncenter" width="722"] Buaya tembaga sepanjang 1.68 meter yang ditemukan di Tasik Seksyen 7 pada jam 10.30 malam, 4 September 2024. Foto @NajwanHalimi[/caption]
Tambahnya, sasaran tangkapan pada sebelah malam dibuat berikutan buaya aktif ketika waktu tersebut, selain bebas daripada gangguan aktiviti orang ramai seperti memancing dan beriadah.
"Kajian awal dibuat untuk mengesan pergerakan buaya kerana tasik itu luas. Jadi, kita pasang dua perangkap dan tiga umpan di lokasi berasingan hingga berjaya menangkapnya malam tadi,” katanya.
Pada masa sama, Wan Mohd Adib berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan buaya itu tersesat disebabkan banjir yang melanda hingga mencetuskan saluran air untuk keluar dan masuk.
Malam tadi, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim mengesahkan buaya tembaga sepanjang 1.68 meter berusia antara tiga ke lima tahun berjaya ditangkap sekitar 10.30 malam.
Semalam, Perhilitan Selangor memasang dua perangkap dengan berat kira-kira 200kg setiap satu untuk menangkap buaya tembaga di tasik tersebut sekitar jam 10 pagi.