OLEH MUHAMMAD REY HAZRIELL
SHAH ALAM, 31 JULAI: KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Media Selangor mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat dalam usaha memacu program kitar semula secara strategik, sejajar komitmen negeri Selangor terhadap agenda 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Pelawaan tersebut disuarakan Pengarah Urusan KDEBWM, Dato' Ramli Mohd Tahir, sempena majlis pelancaran Kempen Kelestarian Media Selangor yang berlangsung di ibu pejabat Media Selangor hari ini. Majlis itu turut menyaksikan simbolik pelancaran menerusi sumbangan tiga tong kitar semula.
“Kami membuka ruang kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk melaksanakan kempen 3R agar bekerjasama dengan KDEBWM dan Media Selangor. Melalui kolaborasi ini, kita boleh berkongsi maklumat, bahan serta menghasilkan impak yang lebih efektif,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_713274" align="aligncenter" width="711"] Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaari melakukan gimik pelancaran Kempen Kelestarian KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Serbaguna Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 31 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, menyifatkan kempen ini sebagai langkah awal dalam penerapan nilai Environmental, Social & Governance (ESG) dalam organisasi media milik negeri.
“Kami menerima sokongan awal daripada MBI dan Semesta dalam memulakan projek ini. Malah, perancangan sedang dibuat untuk mengembangkan gerakan kelestarian ini bersama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah menjalankan pelbagai inisiatif mesra alam sekitar,” ujarnya.
[caption id="attachment_713273" align="aligncenter" width="710"] Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaari berucap sempena majlis pelancaran Kempen Kelestarian KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Serbaguna Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 31 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah beliau, kempen ini juga akan disusuli dengan penglibatan aktif komuniti Media Selangor sendiri sebagai wadah pendidikan dan kesedaran, ke arah mengarusperdanakan nilai ESG dalam operasi harian.
Kempen kelestarian ini selari dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang mengangkat visi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, mampan dan sejahtera.