EXCO

Karnival sawah padi pada November perhebat Tahun Melawat Selangor

3 Sep 2024, 5:15 AM
Karnival sawah padi pada November perhebat Tahun Melawat Selangor

SHAH ALAM, 3 SEPT: Karnival sawah padi di Sabak Bernam pada November ini bakal memperhebat lagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

EXCO pelancongan berkata karnival melibatkan aktiviti sukan air disamping penyertaan pelbagai pihak dijangka menarik ramai pelancong terutama di kawasan anjung utara negeri.

"Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti menarik kita anjurkan. Ada sukan rakyat selain boleh melihat kegiatan penduduk di sana seperti cara menanam padi dan sebagainya.

“Ini antara langkah pentadbiran untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong. Kita tak tumpu TMS2025 di kawasan bandar sahaja tetapi seluruh pelosok negeri," kata Dato’ Ng Suee Lim ketika dihubungi.

Beliau berkata TMS2025 yang bermula 1 Januari akan dilancarkan bersekali sambutan ambang tahun baharu pada malam 31 Disember ini dan disempurnakan Dato’ Menteri Besar.

Selain pertunjukkan bunga api, Suee Lim berkata program juga dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis terkenal yang mungkin melibatkan Datuk Siti Nurhaliza selain artis luar negara.

“Kita masih dalam perancangan. Lokasi juga masih belum diputuskan namun kita akan pilih kawasan yang bersesuaian kerana jangkaan lebih 10,000 penonton akan datang,” katanya.

TMS2025 yang menawarkan lebih 60 program sepanjang tahun depan dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Tahun ini, pelbagai kerja promosi dilakukan menerusi pengiklanan, digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini melancarkan iklan panel belakang bas Smart Selangoryang mempromosi lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri sempena TMS2025.

Kempen pengiklanan dengan peruntukn RM250,000 itu melibatkan promosi bagi sembilan daerah di Selangor dengan sokongan lima pihak berkuasa tempatan.