SHAH ALAM, 2 SEPT: Pemohonan program pembangunan Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) peringkat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dibuka sejak semalam hingga 22 September ini.
Menurut MPKL, program bimbingan secara percuma untuk usahawan Platform Selangor (PLATS) mengembangkan perniagaan secara digital itu terhad kepada 30 penyertaan sahaja.
“Jika anda usahawan di daerah Kuala Langat dan berhasrat untuk dapatkan bimbingan bagi mengembangkan perniagaan digital boleh daftar sekarang,” katanya di Facebook.
MPKL memaklumkan program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) menetapkan peserta mestilah berdaftar dengan PLATS.
Kriteria lain termasuk mempunyai lesen atau permit pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai premis fizikal serta lahir atau sudah bermastautin lebih lima tahun di Selangor.
Borang permohonan boleh didapati di laman sesawang Platform Selangor di pautan http://www.platselangor.com atau hubungi pegawai Jabatan Pelesenan MPKL di talian 012-300 4167 (Hayati) untuk maklumat lanjut.
Tahun lalu, MBI memperkenal program U-PLATS bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 PBT.
Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.