BERITA UTAMA

EXCO: Negeri jalin kerjasama dengan Australia, perkasa pendidikan awal kanak-kanak

2 Sep 2024, 8:07 AM
EXCO: Negeri jalin kerjasama dengan Australia, perkasa pendidikan awal kanak-kanak
EXCO: Negeri jalin kerjasama dengan Australia, perkasa pendidikan awal kanak-kanak

SHAH ALAM, 2 SEPT: Selangor sedang mengatur kerjasama dengan institusi pendidikan Australia, Technical and Further Education (TAFE) Victoria untuk kursus pensijilan mikro bagi pendidikan awal kanak-kanak.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata kursus yang dijangka dimulakan tahun ini bakal melibatkan kira-kira 30 pengasuh kanak-kanak yang akan mengikuti kursus jangka pendek dengan institusi itu.

“Kita akan laksanakan secara training of trainer (TOT) yang mana melatih peserta untuk menjadi jurulatih atau fasilitator yang efektif kepada peserta lain.

“Pengasuh yang hadir untuk kursus jangka pendek ini akan menerima pentauliahan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dan mereka boleh jadi jurulatih kepada pengasuh lain nanti.

[caption id="attachment_660565" align="alignleft" width="500"] Wawancara EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahudiin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Selain boleh tambah nilai pengasuh terutama pengasuh di rumah, program ini juga akan memperkasa ekosistem pendidikan awal kanak-kanak negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata 660 pengasuh dari rumah menerima latihan di bawah program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK) setakat ini.

Katanya peserta menerima bimbingan melalui Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

“IMPAK ini adalah satu usaha untuk kita kenal pasti pengasuh di rumah iaitu pengasuh dengan kategori tiga orang anak asuhan dan ke bawah.

“IMPAK buat masa sekarang sudah berjalan sekitar 10 siri dan ia akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai pengasuh menerima manfaat menerusi kursus tersebut,” katanya.

Kerajaan Negeri menyasar 1,000 pengasuh menjalani program latihan IMPAK tahun ini dan mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web impak.yawas.com.my dengan memenuhi lima syarat utama.

Peserta yang terpilih menjalani KIPK secara percuma turut berpeluang menerima geran bernilai RM2,000 setiap seorang.