SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor mahu kerajaan meneliti semula isu gaji terutama melibatkan graduan seiring keperluan, ekonomi dan inflasi semasa.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bertitah jalan penyelesaian perlu dicari demi mengelakkan anak bangsa tercicir selain memastikan kelangsungan hidup dan kebajikan terjamin.
“Saya cakna dengan isu yang melanda graduan pada masa ini. Peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi telah melahirkan ramai graduan yang bermutu tinggi. Namun, peluang pekerjaan yang ditawar tidak setaraf kelayakan graduan.
“Isu gaji tidak selaras dan tidak setimpal terhadap permintaan dan penawaran kerja sering dipersoalkan. Faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan pekerjaan dalam bidang tertentu juga perlu dikaji.
“Terdapat lambakan graduan yang melebihi dari permintaan dan ada juga situasi, penawaran kerja melebihi kepakaran yang disediakan. Apakah jalan penyelesaian agar graduan terkesan ini boleh menyumbang khidmat mereka dalam bidang yang lain?,” titah baginda sempena Istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-99 hari ini.
[caption id="attachment_661304" align="aligncenter" width="700"] Suasana Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-99 di Dewan Agung Tuanku Canselor UITM pada 2 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Baginda yang juga Pro-Canselor UiTM bertitah Kementerian Pendidikan Tinggi sertai institusi pengajian tinggi (IPT) perlu berkerja keras memartabatkan Bumiputera dalam keperluan industri selain memastikan kerelevanan graduan di pasaran kerja.
"Bidang tujahan baharu perlu diteliti seiring dengan keperluan industri untuk memperkembang kerjaya graduan. Ilmu keusahawanan dan penggunaan teknologi digital juga harus diperkasa. Ini dapat memberi pendedahan kepada graduan untuk bergerak ke hadapan dalam apa sahaja situasi yang melanda.
“IPT harus mempertimbang latihan kemahiran dan kursus profesional jangka pendek supaya mereka lebih kompeten mengharungi cabaran seterusnya menyumbang khidmat dalam menembusi pasaran global,” titah Baginda.
Tengku Permaisuri Selangor juga mengingatkan IPT supaya memberikan peluang kepada mahasiswa untuk meneroka pelbagai bidang untuk menyeimbangkan antara kecemerlangan akademik dan kepimpinan.
“Mereka harus diberi kepercayaan untuk meneroka, menggunakan kemahiran dan pengetahuan seterusnya menyumbang semula kepada komuniti. Perkara ini dapat meningkatkan martabat serta memperkuatkan identiti bangsa kita dalam masyarakat.
“Dalam usaha untuk melahirkan bakat berinovasi serta inovatif, masyarakat dan sektor industri perlu menyokong IPT. Keperluan bekalan sumber manusia yang kompeten secara tidak langsung akan memberikan kesan positif kepada pembangunan negara,” titah Baginda.
[caption id="attachment_661295" align="aligncenter" width="700"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berswafoto bersama graduan sebelum berangkat pulang sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-99 di Dewan Agung Tuanku Canselor UITM pada 2 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]