SHAH ALAM, 31 OGOS: Wakil rakyat Seri Kembangan menganjurkan kempen Cabaran 10,000 Langkah Sehari dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas.
Wong Siew Ki berkata kempen yang menawarkan hadiah berupa baucar beli-belah sehingga RM800 bermula hari ini sehingga 30 September depan.
“Sempena bulan kemerdekaan ini, kita anjurkan kempen berjalan 10,000 langkah sehari dalam usaha menggalakkan masyarakat Seri Kembangan memgamalkan gaya hidup sihat selain menikmati keindahan alam sekitar.
“Merdeka bukan sahaja bermaksud negara bebas daripada jajahan tetapi memerdekakan diri dengan memastikan kesihatan terjaga. Apabila diri sihat, kita tidak bergantung kepada sesiapa,” katanya.
[caption id="attachment_661063" align="aligncenter" width="815"] Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Ki bersama penduduk setempat menyertai kempen Cabaran 10,000 Langkah Sehari di Sungai Kuyoh, Seri Serdang pada 31 Ogos 2024. Foto CHUAH CHEE HWAI/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah Siew Ki, individu yang berjaya mengumpul jumlah langkah terbanyak berpeluang mendapat baucar beli-belah RM300 manakala tempat kedua RM200 dan ketiga RM100.
Bagi tempat keempat hingga kesepuluh masing-masing akan menerima baucar beli-belah RM50.