EXCO

Tahap kesuburan penduduk menurun, negeri pergiat kempen, rangka program

31 Ogos 2024, 8:13 AM
Tahap kesuburan penduduk menurun, negeri pergiat kempen, rangka program

KLANG, 31 OGOS: Kerajaan Negeri mempergiatkan kempen kesedaran serta merangka program untuk meningkatkan tahap kesuburan penduduk di negeri ini.

EXCO kesihatan awam berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan EXCO Wanita Anfaal Saari untuk mengatasi isu itu yang dibimbangi boleh menjejaskan pembangunan negeri atau negara.

"Isu berkaitan kadar kesuburan penduduk di negeri itu yang berada pada tahap membimbangkan. Kita perlu memastikan tahap kesuburan berada pada keadaan baik.

“Sekiranya tahap sederhana, masih dianggap ok tetapi  tetapi jika ada kejatuhan mendadak seperti ini akan beri cabaran untuk pembangunan sesebuah negeri dan negara,” kata Jamaliah Jamaluddin pada program sambutan bayi merdeka sempena Hari Kebangsaan ke-67 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Sebelum ini, Anfaal memaklumkan kadar kesuburan penduduk di Selangor dan tiga negeri lain Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah semakin membimbangkan.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan di Selangor sebanyak 1.6 anak manakala di Sabah 1.3 anak dan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing 1.2 anak.

Sehubungan itu, beliau berkata negeri bercadang memperkenalkan beberapa skim bantuan sebagai usaha meningkatkan kadar kesuburan kerana negara merekodkan trend penurunan sejak 2010.

Pada 30 Julai, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengumumkan Pusat Subferteliti Negara pertama negara  dibina di Seksyen 17, Shah Alam, yang menawarkan harga 20 peratus lebih rendah untuk untuk rawatan kesuburan.

Timbalan Pengerusi LPPKN Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif sebagai usaha membantu suami isteri yang berdepan masalah mendapatkan zuriat memandangkan harga rawatan mencecah sehingga RM30,000.