ad
AGENDA

Piala FA: Kemunculan Faisal 'bertopeng' disambut sorakan ribuan penyokong

3 Ogos 2024, 1:53 PM
Piala FA: Kemunculan Faisal 'bertopeng' disambut sorakan ribuan penyokong

PETALING JAYA, 3 OGOS: Pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang masih dalam proses pemulihan susulan menjadi mangsa simbahan asid, membuat kemunculan dalam sesi pemanas badan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 di sini malam ini.

Selangor dijadual menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 selepas tewas 2-3 dalam aksi pertama.

Sejurus memasuki padang bersama pasukan, tonggak utama skuad Harimau Malaya berusia 26 tahun itu bersujud di tepi padang sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey turut kelihatan memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu berada dalam senarai pemain simpanan pasukan pada perlawanan malam ini, sekali gus berpeluang membuat penampilan pertama selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Mei lepas.

Susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di sini itu, beliau mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.