AGENDA

Negeri anjur saringan kesihatan percuma di Bandar Baru Sungai Buloh pagi ini

6 Jul 2024, 1:00 AM
Negeri anjur saringan kesihatan percuma di Bandar Baru Sungai Buloh pagi ini
Negeri anjur saringan kesihatan percuma di Bandar Baru Sungai Buloh pagi ini

SHAH ALAM, 6 JULAI: Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Meranti MBSA Bandar Baru Sungai Buloh dari jam 9 pagi hingga 3 petang ini.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu menyediakan saringan kesihatan seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, barah, mata, telinga dan gigi.

“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi Program  Selangor Saring. Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma. Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika ada masalah pendaftaran,” katanya menerusi Facebook.

Beliau menyarankan orang ramai mendaftar program Selangor Saring menerusi empat langkah berikut:

1. Memuat turun aplikasi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)

2. Tekan butang Selangor Saring

3. Isi borang soal selidik

4. Pilih lokasi dan tarikh program

Menerusi pembentangan  Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Program Selangor Saring juga diadakan di Dewan Orang Ramai Dengkil (DUN Dengkil) pada 7 Julai (Ahad) dan diteruskan pada 14 Julai di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai (DUN Sungai Tua) manakala 20 Julai di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan (DUN Batu Tiga).