AGENDA

MB: Kepercayaan orang Melayu berkembang, sokongan Cina, India mengukuh

11 Mei 2024, 2:02 PM
MB: Kepercayaan orang Melayu berkembang, sokongan Cina, India mengukuh

SHAH ALAM, 11 MEI: Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan Pang Soak Tao menunjukkan kepercayaan orang Melayu berkembang manakala sokongan kaum Cina dan India serta Orang Asli terus mengukuh.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata sokongan kepada Kerajaan Perpaduan meningkat secara menyeluruh berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu (KKB).

Dato' Seri Amirudin Shari memberitahu Kerajaan Perpaduan gabungan tepat bagi memajukan lagi ekonomi negara seterusnya menambah baik taraf dan mutu kehidupan penduduk.

"Keputusan rakyat hari ini adalah isyarat bahawa mereka tidak mahu ejen pemecah belah untuk mewakili mereka," katanya.

Soak Tao yang memperoleh 14,000 undi menang dengan majoriti 3,869 undi dalam saingan empat penjuru, menewaskan calon Perikatan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia serta calon Bebas.

Dalam kenyataan malam ini, Amirudin yang juga Dato' Menteri Besar akan memastikan ikhtiar sepanjang kempen dijayakan sebaik mungkin bagi kebaikan penduduk KKB dan Hulu Selangor.

"Ini merupakan amanah rakyat yang harus menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai pemimpin

yang diberikan kepercayaan untuk terus memajukan negeri dan memulihkan negara," katanya.

Beliau juga menyifatkan kemenangan Soak Tao sebagai pengiktirafan kepada jasa bakti mendiang Lee Kee Hiong, bekas wakil rakyat KKB, dalam membela penduduk di sini sejak 2013.

"Keputusan ini juga memberi tanggungjawab kepada Sock Tao supaya legasi mendiang diteruskan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.