AGENDA

Lebih 7 juta individu seluruh negara kemas kini data Padu

23 Mac 2024, 6:28 AM
Lebih 7 juta individu seluruh negara kemas kini data Padu

SHAH ALAM, 23 MAC: Sejumlah 7.07 juta individu di seluruh negara mengemas kini data masing-masing dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat semalam.

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata pihaknya menjangkakan sehingga tarikh akhir pengemaskinian iaitu 31 Mac lebih 10 juta individu dijangka mengemas kini data mereka.

“Sejak dilancarkan pada 2 Januari kira-kira 50,000 individu mengemas kini maklumat setiap hari.

“Menjelang tarikh akhir kira-kira 350,000 mengemas kini data setiap hari yang kita jangka akan meningkat lebih drastik bila semakin hampir dengan tarikh akhir nanti,” katanya pada sesi townhall bersama Menteri Ekonomi berkaitan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya sebanyak 1,224 kawasan di Selangor dikenal pasti warganya belum mengemas kini data dalam sistem Padu jenis kediaman pangsapuri mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 791 kawasan.

“Seperti yang semua tahu di Selangor yang mendiami kediaman pangsapuri kebanyakannya golongan berpendapatan rendah atau sederhana terutama di pangspuri jenis kos rendah.

“Tetapi maklumat mereka langsung tidak dikemas kini dalam sistem Padu yang kita bimbang akan berlaku keciciran apabila penyasaran subsidi bersasar dibuat nanti.

“Justeru kita minta kerjasama pemimpin kawasan, wakil persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) untuk menghebahkan kepentingan pengemaskinian maklumat ini,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.mybermula 2 Januari sehingga 31 Mac.

Berdasarkan Facebook rasmi padu sehingga semalam 1.08 juta rakyat Selangor telah mengemaskini maklumat masing-masing dalam sistem berkenaan.