ad
AGENDA

Dua bertengkar sebelum melecur dalam kebakaran dua kenderaan

29 Feb 2024, 12:33 AM
Dua bertengkar sebelum melecur dalam kebakaran dua kenderaan

IPOH, 29 FEB: Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki warga emas dan wanita yang melecur dalam kebakaran dua kenderaan dipercayai selepas bertengkar di kawasan perumahan di Taman Utama Bercham di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kereta dan motosikal serta dua mangsa berusia 67 dan 54 tahun pada kira-kira 10.18 pagi.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat telah pergi ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati terdapat sebuah kereta dan sebuah motosikal dalam keadaan hangus terbakar di hadapan rumah.

"Sebelum kebakaran berlaku, seorang saksi mendengar pertengkaran di antara kedua-dua mangsa dan apabila keluar dari rumah, dapati kebakaran telah berlaku dan kedua-dua mangsa sudah terbakar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan kesan lecur dan dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan keterangan saksi-saksi terlibat akan dirakam percakapan bagi siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Fadli Ahmad dengan menghubungi talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya tiba di lokasi pada 10.28 pagi dan mengambil masa selama lima minit untuk memadamkan kebakaran yang membabitkan kedua-dua kenderaan.

Katanya punca kejadian masih belum dikenal pasti namun kedua-dua mangsa yang melecur hampir keseluruhan badan berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.