ad
AGENDA

MBI serah komputer riba kepada lima keluarga B40 di Bukit Melawati

23 Feb 2024, 10:27 AM
MBI serah komputer riba kepada lima keluarga B40 di Bukit Melawati

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang lima unit komputer riba kepada lima keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di sini.

Penyelaras DUN Bukit Melawati S Thiban berkata serahan peranti model HP bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita memahami keperluan pelajar untuk mendapatkan kemudahan komputer riba. Harganya yang agak tinggi menyukarkan ia dimiliki oleh mereka yang kurang berkemampuan.

“Diharap bantuan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima tanpa perlu lagi menggunakan telefon bimbit atau ke pusat siber untuk menyiapkan tugasan serta kerja kursus,” katanya ketika ditemui hari ini.

Penyerahan disempurnakan Thiban sambil disaksikan pegawai tanggungjawab sosial korporat MBI Zakwan Ali di pejabat penyelaras DUN Bukit Melawati di sini, hari ini.

Sementara itu, pelajar Goon International College di Kuala Lumpur, S Geerthana, 20, bersyukur kerana tidak perlu lagi menggunakan telefon bimbit untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

“Sebelum ini saya lakukan semua tugasan yang diberikan pensyarah menggunakan telefon bimbit dan kadang kala terpaksa ke pusat siber sekiranya keadaan memerlukan.

“Ayah seorang pemandu lori dan ibu pula suri rumah. Kami tidak mampu untuk beli komputer riba kerana harganya amat mahal dan di luar kemampuan kami,” kata pelajar jurusan diploma pendidikan awal kanak-kanak ini.

Bagi pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), M Taarini, 20, berkata beliau sebelum ini menyiapkan tugasan pensyarah menggunakan komputer riba lama yang dipinjamkan ibu saudaranya.

Namun, pelajar ijazah sarjana muda Mikro Biologi ini berkata komputer lama tersebut menghadapi beberapa masalah dan menyebabkan ada tugasan yang lewat disempurnakan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi memberikan komputer riba percuma. Selepas ini saya dapat siapkan tugasan dengan lebih baik dan cepat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.