ad
AGENDA

Pegawai, pemain bola sepak ditahan bergaduh ketika perlawanan

14 Jan 2024, 5:53 AM
Pegawai, pemain bola sepak ditahan bergaduh ketika perlawanan

KUALA TERENGGANU, 14 JAN: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan perlawanan bola sepak antara kelab NAG FC dengan KESA FC di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus Jumaat lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata tiga suspek ditahan termasuk pegawai dan pemain pasukan bola sepak yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Tiga suspek berkenaan ditahan semalam untuk membantu siasatan insiden pergaduhan sehingga menyebabkan seorang individu cedera teruk.

"Beberapa tangkapan lain akan menyusul selepas ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya pada sidang media Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Jumaat lalu tular di laman sosial video berdurasi dua minit 42 saat yang memaparkan insiden pergaduhan dan rusuhan antara NAG FC dengan KESA FC.

Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pasukan bertanding terhadap mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.