ad
AGENDA

Aliran trafik lebuh raya utama ibu negara lancar pagi ini

26 Dis 2023, 1:46 AM
Aliran trafik lebuh raya utama ibu negara lancar pagi ini

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di ibu negara lancar setakat 8 pagi ini.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), aliran trafik lancar di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) terkawal dan tiada peningkatan jumlah kenderaan.

“Aliran trafik di Sedenak-Kulai, Johor perlahan disebabkan orang ramai mulai bekerja setelah bercuti sempena Hari Krismas dan mengambil kesempatan pemberian tol percuma oleh kerajaan hari ini.

"Aliran trafik di bahagian utara dan timur masih lagi lancar. Begitu juga di Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT) 1 dan LPT2 lancar setakat ini. Aliran trafik di Tol Bentong, juga lancar dan tiada sebarang peningkatan jumlah kenderaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata bagi lebuh raya di sekitar Lembah Klang pula, aliran trafik juga terkawal setakat ini selain aliran trafik dari Slim River ke Terowong Menora, Perak serta dari Jitra, Kedah menuju ke Pulau Pinang juga lancar di kedua-dua arah.

Sementara itu, menerusi akaun rasmi X Plus Trafik turut memaklumkan aliran trafik bergerak lancar namun terdapat beberapa lokasi perlahan disebabkan oleh kemalangan.

Antaranya kemalangan di kilometer (KM) P5.4 Lebuhraya Elite arah utara dari Cyberjaya ke Plaza Tol Putrajaya yang menyebabkan lorong kiri terhalang selain kemalangan di lebuhraya sama di KM38.1 arah utara dari Nilai ke Bandar Serenia.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.