AGENDA

Covid-19: Selangor rekod 4,326 kes minggu lalu, terus amal langkah pencegahan

16 Dis 2023, 2:03 AM
Covid-19: Selangor rekod 4,326 kes minggu lalu, terus amal langkah pencegahan

SHAH ALAM, 16 DIS: Kes Covid-19 di Selangor meningkat kepada 4,326 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49/2023) iaitu sepanjang minggu lalu berbanding 2,278 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata peningkatan kes dijangka terus melonjak susulan sambutan perayaan Krismas di samping musim cuti sekolah yang bermula hari ini.

“Terdapat kemungkinan berlakunya peningkatan kes susulan daripada pergerakan dan perjumpaan keluarga dan sahabat.

“Secara keseluruhan sejak 1 Januari hingga 9 Disember, Selangor merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 sebanyak 0.2 peratus,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru beliau menyeru rakyat supaya mematuhi panduan kesihatan dan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti berikut:

1. Elakkan mengunjungi tempat sesak atau pusat tumpuan orang ramai sekiranya mengalami sebarang gejala

2. Pemakaian pelitup muka terutama di kawasan tertutup, sempit atau sesak

3. Kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun terutama selepas bersentuhan dengan permukaan yang sering disentuh orang ramai

4. Amalan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan)

5. Segera berjumpa doktor sekiranya gejala bertambah serius

6. Orang ramai disarankan mendapatkan dos primer dan penggalak vaksin terutama golongan berisiko tinggi