SHAH ALAM, 17 NOV: Seorang pelajar sanggup meredah hujan dengan motosikal sejauh hampir 20 kilometer demi menghadiri Majlis Ilmu Selangor Madani di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.
Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Rahimiey Abdul Rahman, 27, turut kehilangan fungsi telefon bimbitnya yang rosak akibat dimasuki air hujan.
Menurutnya, kehadiran ulama terkemuka Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk hadir ke majlis ilmu itu meski berseorangan.
[caption id="attachment_613782" align="alignleft" width="408"]
Abdul Rahimey Ab Rahman, 27. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
“Saya mengetahui mengenai program ini daripada rakan. Saya suka hadir ke majlis ilmu dan enggan melepaskan peluang mendengar tazkirah oleh ulama terkenal,” kata pelajar Sarjana Psikologi Kaunseling itu lagi.
Sementara itu, guru agama, Shuhairezam Shuib, 41, berkata perkongsian Syeikh Dr Ali membuka matanya mengenai peperangan dan ujian yang sedang dihadapi umat Islam di Palestin.
Beliau yang hadir bersama suami juga berazam untuk mengikut setiap saranan yang disampaikan ulama itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Palestin.
[caption id="attachment_613783" align="alignright" width="401"]
Guru agama Shuhairezam Shuib, 41. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
“Saya suka dengan perkongsian beliau yang membuka mata saya mengenai Palestin. Sudah tentu, selepas ini saya akan ikut setiap nasihat Syeikh Ali supaya Palestin bebas merdeka,” katanya.
Terdahulu, hampir 200 umat Islam mengimarahkan Majlis Ilmu Selangor Madani yang diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.
Program keagamaan itu dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim, dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
[caption id="attachment_613785" align="aligncenter" width="756"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (empat, kiri) mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi (kanan) pada Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Jemaah turut mendengar tazkirah selama satu jam oleh Syeikh Dr Ali bertajuk 'Peranan Ummah Dalam Pembebasan Al Aqsa' yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ahmad Firdaus Kadir.
[caption id="attachment_613784" align="aligncenter" width="756"]
Orang ramai hadir mendengar tazkirah Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi pada Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]


