SHAH ALAM, 7 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan melawat ke kediaman Biskop Gereja Anglican Sarawak (Anglican Bishop) Dato’ Donald Jute di Kuching semalam.
Kebarangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Dihormati Dato’ Lela Jasa Diraja Selangor Dato’ Richard Curtis.
"Keberangkatan tiba Baginda disambut Dato’ Donald, isteri Datin Julita Jute serta mantan Biskop Anglican Sarawak dan Asia Tenggara Dato’ Bolly Lapok.
"Tuanku Sultan berkenan meluangkan masa bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal semasa dengan Dato’ Donald dan Dato’ Bolly berkaitan dialog antara agama (inter-faith) yang mewakili Gereja Anglican," tulis Selangor Royal Office di Facebook.
Sultan Sharafuddin kemudian dibawa melawat beberapa ruang utama kediaman bersejarah itu yang dibina pada 1849 dan merupakan rumah agam dengan reka bentuk Eropah tertua di Sarawak.


