Kualiti udara di Semenanjung lebih baik, Sarawak masih jerebu

12 Sep 2026, 5:33 AM
Kualiti udara di Semenanjung lebih baik, Sarawak masih jerebu

SHAH ALAM, 12 SEPT: Hujan yang melanda beberapa lokasi di Lembah Klang dan negeri lain semalam membantu memperbaiki kualiti udara hari ini, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), seluruh Semenanjung menunjukkan trend pemulihan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik dan sederhana.

Setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 42 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala 12 kawasan lagi berada pada tahap baik.

Sarawak bagaimanapun masih terjejas akibat jerebu apabila lima kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat dan satu kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.

Kualiti udara di Serian, Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat. Foto BERNAMA

Lima lokasi yang merekodkan IPU tidak sihat ialah Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Bintulu, manakala IPD Serian mencatatkan bacaan 239, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Mengikut kategori IPU, bacaan sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas berbahaya.

Jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu turut menyebabkan beberapa acara sukan ditangguh dan dibatalkan bagi memastikan keselamatan peserta.

Orang ramai dinasihatkan terus memantau bacaan IPU semasa dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya kualiti udara kembali merosot.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.