AGENDA

Dua beregu badminton raih gangsa di kejohanan remaja dunia

8 Okt 2023, 4:24 AM
Dua beregu badminton raih gangsa di kejohanan remaja dunia

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Dua wakil negara, beregu campuran Low Han Chen-Cheng Jie Yu dan beregu lelaki Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2023, selepas tumpas kepada lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di Spokane, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Pada kejohanan yang berlangsung di The Podium itu menyaksikan Han Chen-Jie Yu tewas kepada pilihan utama Zhu Yi Jun-Huang Ke Xin dari China, 14-21, 14-21.

Menanti Yi Jun-Ke Xin pada aksi final lewat hari ini ialah rakan senegara Liao Pin Yin-Zhang Jia Han selepas menyingkirkan Jonathan Farrell Gosal- Priskila Venus Elsadai dari Indonesia, 21-16, 21-16 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Turut mengalami nasib sama ialah beregu lelaki negara Bryan-Aaron yang tumpas 18-21 pada set pertama kepada gandingan Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng dari Taiwan.

Pasangan negara itu, bagaimanapun bangkit memenangi set kedua 21-15, namun gagal meneruskan rentak cemerlang apabila dikecewakan 14-21 oleh gandingan pilihan keenam itu pada set penentuan.

Pada perlawanan akhir, Po Yu-Fu Cheng akan berdepan wakil China, Ma Shang-Zhu Yi Jun selepas mereka mengetepikan cabaran Huang Jui-Hsuan- Huang Tsung-I dari Taiwan, 21-15, 24-22, dalam satu lagi perhitungan separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia meraih kedudukan podium dalam acara beregu campuran adalah pada edisi 2016 menerusi gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang memenangi pingat gangsa.

Sementara itu dalam acara beregu lelaki, gandingan Teo Ee Yi- Nelson Heg merupakan pasangan lelaki negara yang terakhir meraih pingat pada 2011 apabila memenangi emas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.