AGENDA

Sukan Asia: Skuad skuasy lelaki, wanita mara separuh akhir

27 Sep 2023, 3:58 PM
Sukan Asia: Skuad skuasy lelaki, wanita mara separuh akhir

Daripada R. Vikneswaran

HANGZHOU, 27 SEPT: Skuad skuasy lelaki dan wanita negara tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir acara berpasukan sekali gus mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi kedua-dua acara berkenaan.

Selepas mudah membenam Filipina dan Korea Selatan 3-0 semalam, pasukan lelaki yang hadir dengan status juara bertahan, menewaskan Jepun pada aksi ketiga Kumpulan B dengan keputusan 3-0 di Pusat Pameran Antarabangsa Hangzhou, di sini, hari ini.

Jepun memberikan sedikit cabaran pada perlawanan pertama sebelum Ivan Yuen bangkit menewaskan Tomotaka Endo 6-11, 11-4, 4-11, 11-6, 11-6 selepas bertarung selama 63 minit.

Ng Eain Yow kemudian mengalahkan Ryunosuke Tsukue 11-7, 6-11, 13-11, 11-6, manakala Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar mudah membenam Naoki Hayashi 11-5, 11-6, 11-4.

Malaysia kemudian mudah menjinakkan Thailand 3-0 dengan Muhammad Addeen hanya mengambil 13 minit untuk tundukkan Ravipun Limphaiboon 11-4, 11-1, 11-1.

Eain Yow menyumbang mata kedua dengan menewaskan Arkaradet Arkarahirunya 11-4, 11-1, 11-4, diikuti kemenangan Mohammad Syafiq Mohd Kamal ke atas Natthapat Theerasilp 11-1, 11-1, 11-2 untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Namun, pasukan negara berdepan cabaran sengit menentang Hong Kong, yang juga telah memenangi keempat-empat perlawanan setakat ini untuk menentukan juara kumpulan, esok.

Sementara itu, pasukan wanita yang merupakan pemenang pingat gangsa edisi lepas, menewaskan Macao 3-0 pada aksi Kumpulan B selepas membenam Nepal dan Pakistan dengan keputusan sama semalam.

Aifa Azman memulakan saingan dengan menewaskan Yeung Wai Leng 11-1, 11-2, 11-3, kemudian S. Sivasangari mengatasi Liu Kwai Chi 11-6, 11-2, 11-2, manakala Aira Azman mengalahkan Leong Ieng Lam 11-7, 11-2, 11-2.

Pasukan itu bakal bertemu India pada esok untuk menentukan juara kumpulan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.