AGENDA

Amaran ribut petir di lapan daerah di Selangor, Putrajaya dan KL

19 Sep 2023, 11:58 AM
Amaran ribut petir di lapan daerah di Selangor, Putrajaya dan KL

SHAH ALAM, 19 SEPT: Amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda lapan daerah di Selangor hingga 9 malam, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Agensi itu di Facebook memaklumkan daerah tersebut ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Cuaca sama diramal melanda Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Sarawak dan Sabah.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.