ad
AGENDA

Projek Pulau Carey perkukuh usaha negara jadi pemain utama sektor pelabuhan

13 Sep 2023, 5:36 AM
Projek Pulau Carey perkukuh usaha negara jadi pemain utama sektor pelabuhan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey yang dibentang dalam usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membantu sektor perkhidmatan berkembang lebih baik.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tersebut meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk menjadi antara pemain utama sektor pelabuhan di peringkat dunia.

“Usaha kerajaan membangunkan Pulau Carey adalah usaha yang sepatutnya disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

"Keluasan Pulau Carey disambung dengan Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat akan sebesar kawasan Singapura.

“Saya percaya ini akan meningkatkan kebolehan Malaysia dan Selangor terutamanya dalam memastikan sektor perkhidmatan khususnya pelabuhan berkembang dengan lebih baik,” kata Dato' Menteri Besar ketika membahaskan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

Usul KSP RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri Isnin lalu antara lain memperkenalkan 11 projek pengangkutan dan logistik baharu bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.

Kerajaan Negeri melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 mengenal pasti projek Zon Ekonomi Khas di kawasan berdekatan bagi menyokong pembangunan pelabuhan ketiga Pulau Carey untuk melengkapi ekosistem bagi semua kegiatan ekonomi berkaitan logistik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.