ad
AGENDA

Pameran udara sasar lebih 20,000 pengunjung, potensi transaksi RM700 juta

29 Ogos 2023, 7:45 AM
Pameran udara sasar lebih 20,000 pengunjung, potensi transaksi RM700 juta
Pameran udara sasar lebih 20,000 pengunjung, potensi transaksi RM700 juta

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 yang dijadual berlangsung mulai 7 September di Skypark RAC, Bukit Jelutong disasar meraih potensi nilai transaksi RM700 juta.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad berkata sasaran itu berdasarkan perjanjian jual beli dalam bidang perkhidmatan, pembuatan dan pesawat ringan yang dimeterai sebelum ini.

Dato’ Hasan Azhari Idris turut menjangka program selama tiga hari bertemakan 'Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau Ini' bakal menarik lebih 20,000 pengunjung.

“Sambutan kali ini di luar jangkaan, melebihi sasaran 10,000 pengunjung seperti edisi lalu sehingga kami terpaksa menutup pendaftaran berikutan ruang lokasi yang agak terhad.

[caption id="attachment_600359" align="aligncenter" width="728"] Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato' Hasan Azhari Idris memberi penjelasan berhubung penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) dalam sidang media di pejabat Invest Selangor, Shah Alam pada 29 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

“Kita berharap penganjuran acara ini akan terus menarik lebih banyak penyertaan daripada syarikat antarabangsa dan tempatan bagi mengembangkan lagi industri aeroangkasa," katanya hari ini.

Beliau memaklumkan SAS akan menempatkan 41 pameran pesawat statik dan disertai 117 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Berbeza dengan edisi lalu, Hasan Azhari berkata beberapa aktiviti baharu bakal diperkenal antaranya sukan udara dron selain karnival kerjaya melibatkan 20 syarikat penerbangan.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang ingin menghadiri pameran tersebut untuk meletak kenderaan di Stadium Shah Alam dan menggunakan bas perantara yang disediakan.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan dan usahawan meneroka bidang itu.

Tahun lalu, program tersebut mencatat potensi nilai transaksi RM1.174 bilion.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.