AGENDA

Selangor tewas 1-2 di tangan PDRM, tetap mara ke suku akhir Piala Malaysia

19 Ogos 2023, 12:09 PM
Selangor tewas 1-2 di tangan PDRM, tetap mara ke suku akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 19 OGOS: Meskipun tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi, Selangor FC tetap mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah mengesahkan slot menerusi agregat 5-3 untuk menempah aksi suku akhir berdepan Terengganu FC, lapor BH Online.

Dalam aksi petang tadi, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Yohandry Orozco yang menyudahkan umpanan menarik Noor Al Rawabdeh pada minit ke-25.

Tidak menunggu lama, PDRM merapatkan kedudukan tujuh minit kemudian selepas Nabil Ahmad Latpi mudah menolak masuk bola hantaran Uche Agba.

PDRM mendapat gol kemenangan selepas pertahanan Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar tertampan bola hantaran Bruno Suzuki ke gawang sendiri pada masa kecederaan.

Saingan suku akhir dijadual akan berlangsung pada pertengahan dan hujung bulan depan.