SHAH ALAM, 19 OGOS: Lebih 200 orang berkunjung ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Teratai Seksyen 19 di sini hari ini bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.
Penyelarasnya Muhammad Farid Mustafa berkata rata-rata pengunjung juga memuji kualiti barang yang ditawarkan dan berharap program jualan murah itu diadakan lebih kerap.
"Alhamdulillah, semua pembeli memuji barangan ditawarkan kami ini yang segar, berkualiti dan murah. Insya-Allah, pihak PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) akan meneruskan inisiatif ini dan memastikan pembeli tidak kecewa.
[caption id="attachment_598654" align="alignleft" width="500"]
Muhammad Farid Mustafa
Penyelia Unit Jualan JER, Muhammad Farid Mustafa ketika ditemui Media Selangor pada program Jualan Ehsan Rahmah sempena hari bersama perlangan PKNS di Dewan Teratai MBSA seksyen 19,Shah Alam pada 19 Ogos 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI[/caption]
"Hari ini juga barangan paling laris dibeli adalah ayam dan telur yang sememangnya sering menjadi pilihan para pembeli setiap kali JER dianjurkan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhammad Farid berkata antara barangan dibawa pada pada hari ini adalah 200 papan telur, 500 ekor ayam, 108 botol minyak, 300 kampit beras dan 200 pek ikan jenis mabung, sardin dan cencaru.
"Selain itu, kita ada juga bawa beberapa barangan tambahan lain seperti gula, tepung, bihun, sos cili, kicap, kaya, biskut, cili giling, sardin tin," katanya.
JER menawarkan ayam standard serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.
Beliau menambah JER kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya hujung tahun lalu.








