SHAH ALAM, 14 OGOS: Kerajaan Perpaduan Selangor akan menjadi suara dan membela setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik, kata Dato' Menteri Besar.
"Tiada sesiapa akan ditinggalkan. No one will be left behind. Kita perkukuhkan muafakat untuk memakmurkan negeri dan menyejahterakan rakyat," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.
Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor menang 34 daripada keseluruhan 56 kerusi untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Amirudin menjelaskan keputusan tersebut mendekati dua pertiga majoriti jika menang empat lagi kerusi yang tewas dengan majoriti tipis.
Dalam kempen pilihan raya, beliau yakin dapat mencapai majoriti dua pertiga, atau 38 kerusi, namun empat kerusi tewas tipis bawah 500 undi.
Kerusi tersebut ialah Taman Medan yang kalah dengan majoriti 30 undi, Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi) dan Dengkil (407 undi).









