ad
AGENDA

Jais tegah pentadbir masjid, surau terlibat aktiviti politik

22 Jul 2023, 5:30 AM
Jais tegah pentadbir masjid, surau terlibat aktiviti politik
Jais tegah pentadbir masjid, surau terlibat aktiviti politik

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pentadbir masjid dan surau seluruh negeri ini ditegah terlibat atau membantu sebarang aktiviti melibatkan politik ketika kempen pilihan raya negeri (PRN).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pihak pengurusan perlu menghalang aktiviti atau program melibatkan calon bertanding, aktivis politik, gambar tokoh, slogan atau lambang mewakili parti tertentu.

“Semua bentuk bahan kempen atau propaganda parti politik hendaklah dipastikan tidak berada di dalam premis bangunan atau di dalam kawasan pagar masjid dan surau.

[caption id="attachment_592785" align="alignleft" width="351"] Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad [/caption]

“Ini memandangkan terdapat kemungkinan akan berlaku usaha daripada parti politik untuk mengadakan aktiviti propaganda politik mereka seperti di masjid dan surau di Selangor,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketetapan itu selaras arahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas propaganda dan politik kepartian.

"Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atau arahan Mais boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12(a) atau(b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai masjid juga boleh dalam masa sama dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7(f), Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan pentadbir masjid dan surau untuk tidak menjadikan rumah ibadat berkenaan sebagai medan propaganda dan politik kepartian.

“Sebarang bahan penerbitan berunsur politik tidak boleh dibiarkan tersebar di kawasan masjid serta surau apatah lagi membenarkan tokoh-tokoh politik menggunakannya untuk tujuan kepartian," titah Baginda yang disampaikan menerusi mimbar Jumaat.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.