ad
PBT

Parkir di taman perumahan, tujuh kenderaan berat dikompaun

30 Jun 2023, 7:21 AM
Parkir di taman perumahan, tujuh kenderaan berat dikompaun

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak tujuh kenderaan berat melebihi dua tan dikompaun Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam satu operasi bersepadu sekitar Kuala Selangor, Ahad lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan operasi dibuat berikutan kenderaan terbabit yang diparkir di taman perumahan dan medan perniagaan merosakkan jalan serta mengganggu keselamatan penduduk.

“Sebanyak tujuh kompaun bawah Undang-Undang Kecil Taman (MDKS) 2005 telah dikeluarkan oleh MPKS atas kesalahan halangan kenderaan berat dalam operasi tersebut,” katanya di Facebook.

Operasi selama empat jam membabitkan 14 anggota penguat kuasa dengan kerjasama polis trafik daerah Kuala Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuat atas aduan awam.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, MPKS turut menutup dan menyita peralatan sebuah pusat snuker di Jalan Medan Niaga 2, yang beroperasi tanpa lesen.

“Operasi mendapati pusat snuker terbabit masih ingkar arahan notis dengan berniaga tanpa lesen,” katanya memaklumkan tindakan bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.