SHAH ALAM, 17 JAN: Sejumlah 2,712 saman dikeluarkan di Selangor sepanjang tahun lalu terhadap pemandu lori yang ingkar Perintah Laluan Terhad melibatkan kenderaan berat di lebuh raya pada waktu puncak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, berkata alasan ‘mahu kejar trip’ sering diberikan pemandu terbabit setiap kali ditahan pihak berkuasa.
Menurutnya, larangan pergerakan kenderaan berat dilaksanakan dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam bagi mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak, iaitu ketika ramai pergi dan pulang kerja.
“Walaupun amaran serta pemakluman awal telah diberikan, masih terdapat pemandu yang berdegil dan tidak mematuhi perintah ditetapkan,” katanya pada sidang media Ops Khas Waktu Laluan Terhad Kenderaan Berat di Galeri Mufors Lebuhraya ELITE, di sini, semalam, lapor Berita Harian.
Dalam operasi khas itu, seramai 57 pemandu lori disaman kerana melanggar arahan larangan pergerakan.
Azrin berkata, sepanjang tahun lalu Lebuhraya ELITE merekodkan jumlah saman tertinggi iaitu 1,346 saman, diikuti Lebuhraya Persekutuan (579 saman), Jalan Templer (366 saman) dan Sungai Buaya (420 saman).
Beliau menjelaskan, pemandu yang melanggar perintah tersebut boleh dikenakan saman bermula RM300 dan boleh mencecah sehingga RM2,000 jika terus mengingkari arahan.
“Penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan melibatkan pegawai JPJ, Polis Diraja Malaysia serta warden trafik,” katanya.
Antara laluan utama yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Laluan Terhad termasuk Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Kepong ke Jalan Kuching dan Jalan Sungai Buaya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pemandu, majikan serta pengusaha kenderaan berat supaya lebih peka dan merancang perjalanan dengan berhemah demi keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.



