SHAH ALAM, 27 JUN: Selangor berjaya mengekalkan rekod nombor satu jumlah kedatangan pelancong domestik ke negeri ini pada tahun lalu dengan catatan 22 juta jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata angka itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).
"Pelancongan domestik di Selangor menampilkan rekod mengagumkan dengan 38.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancong domestik disumbangkan oleh aktiviti membeli-belah.
"Meski pandemik, Selangor juga berjaya meningkatkan kedatangan pelancong domestik sebanyak 33.4 peratus pada tahun lalu termasuk menyumbang RM197.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2021," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Loy Sian berkata pihaknya yakin sasaran 5.04 juta pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini berjaya dicapai menjelang hujung tahun ini dengan adanya pelbagai destinasi menarik di Selangor.
Jelasnya, bertepatan dengan kempen "Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!, negeri itu turut menawarkan pelbagai segmentasi pelancongan antaranya gastronomi, pelancongan berbasikal, pelancongan agro dan pelancongan eko.
"Kita yakin Selangor sasaran boleh dicapai apabila terdapatnya peningkatan sebanyak 15.3 peratus kehadiran pelancong ke negeri ini pada suku pertama tahun ini.
"Tourism Selangor juga turut bekerjasama dengan pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, institusi pendidikan dan industri runcit," katanya.



