BERITA UTAMA

RS-1 tumpu strategi kukuhkan ekonomi, pendapatan tinggi menjelang 2025

19 Jun 2023, 3:17 AM
RS-1 tumpu strategi kukuhkan ekonomi, pendapatan tinggi menjelang 2025
RS-1 tumpu strategi kukuhkan ekonomi, pendapatan tinggi menjelang 2025

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri merumuskan 14 sasaran kejayaan menerusi dasar pembangunan lima tahun.

Dibentangkan pada 27 Julai 2022, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bertema Negeri Pintar,

Berdaya Huni dan Makmur sememangnya menuntut kerja berpasukan semua pihak bagi menjayakannya.

Empat strategi ditetapkan bagi mencapai sasaran iaitu pengukuhan ekonomi, mempertingkatkan

inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat, pemacuan kelestarian serta tadbir urus S.M.A.R.T

dan efektif.

Antara misi penting ialah meningkatkan pendapatan rakyat. Dasar lima tahun itu menyasarkan setiap isi rumah memperoleh sekurang-kurangnya RM9,290 sebulan menjelang 2025.

Kemiskinan mutlak juga diturunkan ke paras 0.7 peratus dan indeks kesejahteraan keluarga

dipertingkatkan kepada lapan peratus mengikut RS-1.

Sasaran itu bakal dicapai menerusi enam bidang tumpuan di bawah strategi peningkatan

kesejahteraan dan keterangkuman sosial.

Enam bidang itu ialah penjanaan pendapatan dan kebajikan sosial, perumahan mampu milik, pendidikan, tumpuan khas kepada kumpulan sasar (belia, warga emas dan orang kelainan upaya),

wanita, keluarga dan masyarakat dan kesihatan awam.

RS-1 turut menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga tujuh peratus setiap

tahun. Sasaran nilai perolehan pelaburan tinggi pula antara RM25 hingga RM35 bilion. Ia sekali

gus mewujudkan peluang pekerjaan antara 3.5 juta hingga 3.8 juta.

Bagi merealisasikannya, dasar lima tahun itu menumpukan sembilan sektor iaitu pelabuhan dan logistik, pelancongan, automotif, aeroangkasa, agroteknologi, elektrik dan elektronik dan

kejuruteraan dan mesin, industri halal, sains hayat dan ekonomi digital.

Di bawah strategi pengukuhan ekonomi itu, beberapa daerah di Selangor dimajukan melalui

rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah.

Ia merangkumi Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG).

Manakala, strategi pemacuan kelestarian dimasukkan dalam dasar itu bagi memastikan Selangor kekal meneraju pemuliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Lima bidang tumpuan strategi itu ialah daya tahan dan pengurusan bencana, negeri rendah karbon, pengurusan air, pengurusan sisa dan biodiversiti dan sumber asli.

Strategi tadbir urus berkesan pula antaranya bertujuan mempelbagaikan sumber hasil dan

mengadaptasi transformasi teknologi untuk memacu penyampaian perkhidmatan awam.

Lima bidang tumpuan adalah penjajaran strategik matlamat dan dasar, pengurusan prestasi dan akauntabiliti, tenaga kerja awam tangkas, kemampanan hasil dan transformasi teknologi.

Strategi ini mensasarkan projek RS-1 berimpak tinggi diselesaikan sepenuhnya menjelang 2025,

semua pihak berkuasa tempatan di Selangor padakedudukan 10 terbaik peringkat kebangsaan dan

perkhidmatan digital awam mencapai 85 peratus.