SUBANG JAYA, 14 JUN: Yayasan Selangor dipilih mengetuai Sekretariat Yayasan bagi menggerakkan beberapa keputusan penting dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Fadlina Sidek berkata sekretariat gabungan semua yayasan negeri-negeri itu akan menyelesaikan isu berkaitan akademik, pembinaan karakter, kemiskinan, literasi dan keciciran.
“Penubuhan Sekretariat Yayasan akan menggerakkan beberapa keputusan kita yang akan memberi impak kepada sistem pendidikan negara.
“Yayasan Selangor akan menerajui sekretariat ini, berkuat kuasa serta-merta malam ini,” katanya selepas sesi libat urus bersama yayasan seluruh negara di Hotel Grand Dorsett di sini, malam tadi.
Antara yayasan yang menyertai program tersebut adalah Yayasan Pahang, Yayasan Pelajaran Johor, Yayasan Sarawak, Yayasan Sabah, Yayasan Terengganu dan Yayasan Melaka.
Fadhlina turut menyifatkan sesi libat urus tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila ia julung kali mengumpulkan semua yayasan di Malaysia.
Menurutnya sinergi antara kerajaan dan yayasan merupakan suatu perkongsian pintar yang perlu dimanfaatkan demi kemajuan modal insan.
Terdahulu, Yayasan Selangor melancarkan logo baharu dan Pelan Tindakan Strategik Pendidikan. Ia disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


