ad
AGENDA

Selesai isu lebih pantas, aduan jalan rosak bakal diperluas ke Facebook

7 Jun 2023, 5:17 AM
Selesai isu lebih pantas, aduan jalan rosak bakal diperluas ke Facebook
Selesai isu lebih pantas, aduan jalan rosak bakal diperluas ke Facebook

SHAH ALAM, 7 JUN: Sistem aduan kerosakan jalan raya di negeri ini akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Dato' Menteri Besar.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Beliau menjelaskan kaedah pelaporan kerosakan jalan raya ketika ini lebih mudah berikutan pengadu hanya perlu menggunakan tanda pagar diikuti nama jalan dan daerah.

“Insya-Allah sistem aduan ini akan diperluas ke Facebook. Kita akan sentiasa memudahkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rakyat demi kemajuan negeri ini,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin berkata Selangor menggunakan sistem pengurusan aset pintar supaya proses memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan rosak terlaksana dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau menambah setiap aduan akan ditapis dan disemak secara automatik bagi menentukan sama ada jalan terbabit kendalian Infrasel, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya.

Bermula 1 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan projek turapan mega di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer dengan peruntukan RM50 juta, yang dijadual siap penghujung Julai.

Sebelum ini, kerja membaiki jalan dilakukan Infrasel berdasarkan aduan orang ramai dengan lebih 39,000 kerja turapan dibuat antara 2021 hingga tahun lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.