SHAH ALAM, 1 MEI: Seramai 97 atlet Selangor akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh bermula 5 hingga 7 Mei.
Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap semua atlet dapat memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang kejohanan bagi menjayakan sasaran kutipan 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa.
"Kita harap semua atlet yang terpilih dapat menunjukkan prestasi cemerlang untuk membawa balik pingat dan memastikan kedudukan terbaik kontinjen negara," kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata tumpuan terarah kepada atlet karate R Sharmendran yang mahu mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut di temasya dwitahunan itu selain acara renang dan olahraga.
Mohamad Nizam berkata Sharmendran yang beraksi dalam kategori Kumite Lelaki 75 kilogram (kg) berjaya memenagi emas di Kuala Lumpur (2017), Filipina (2019) dan Vietnam (2021).
Selain itu, beliau turut menjadi wakil kedua dari sukan karate yang dipilih membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan SEA selepas R Puvaneswaran pada temasya edisi ke-22 di Hanoi pada 2003.
"Kita berbangga apabila anak kelahiran Selangor, Shamendran telah terpilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen negara. Kita akan sentiasa mendoakan kejayaan kontinjen negara menghadapi cabaran Sukan SEA," katanya.