GOMBAK, 22 APRIL: Legenda bola sepak negara Khalid Ali menyifatkan kunjungan Dato’ Menteri Besar dikediamannya memberi semangat untuk beliau melawan barah paru-paru.
Khalid, 66, yang juga bekas pemain Selangor mengakui sangat terharu apabila dimaklumkan Dato’ Seri Amirudin Shari mahu menziarahinya setelah mengetahui beliau menghidap penyakit tersebut.
“Saya pernah bertemu beliau pada pilihan raya umum ke-15 sepanjang berkempen. Tetapi ini bukan pertemuan pertama kerana sebelum ini saya juga pernah bersama bermain bola dengannya ketika pilihan raya umum yang lalu.
“Walaupun pernah bersemuka tetapi agak terperanjat apabila dimaklumkan beliau hendak melawat. Namun, saya gembira dengan kehadirannya yang sedikit sebanyak memberi semangat,” katanya ditemui di kediamannya ,alam tadi.
[caption id="attachment_578025" align="aligncenter" width="779"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diiringi bersama Setiausaha politik (Kawasan) Dato' Menteri Besar merangkap penyelaras DUN Gombak Setia Abdul Rahim Ahmad Kasdi (kanan) menziarahi bekas pemain bolasepak Khalid Ali turut di Keramat, Gombak pada 21 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI[/caption]
Khalid turut menyifatkan Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak sebagai seorang individu berhati sukan kerana amat rapat dengan pemain-pemain bola sepak yang lain.
Berkongsi keadaan terkini, Khalid berharap dengan menjalani rawatan kemoterapi memberi perubahan terhadap kesihatannya dan kembali sihat.
“Doktor memaklumkan ketumbuhan di paru-paru ini tidak boleh dibedah kerana sudah merebak ke bahagian kanan. Kanser ini hanya boleh diubati dengan rawatan kemoterapi sebanyak enam kali.
“Selasa lalu adalah kemoterapi yang pertama dan seterusnya pada 9 Mei depan. Harap lepas kemoterapi ada perubahan dalam diri,” katanya.
[caption id="attachment_578032" align="aligncenter" width="757"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memasukan pulut kedalam buluh pada Program Bakar Lemang Anak Muda Gombak di gerai Lemang U-turn di Batu 7 Jalan Gombak pada 21 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI[/caption]
Terdahulu, Amirudin turut meluangkan masa melawat gerai Lemang U-turn yang diusahakan pasangan suami isteri di Batu 7, Jalan Gombak di sini.
Mengakui tidak sangka Dato’ Menteri Besar sudi melawat ke gerainya, Mohd Fadzly Izahar, 39, berkata beliau pada awalnya menganggap ia sekadar gurauan.
“Apabila mereka sungguh-sungguh mengatakannya, saya sangat gembira dengan kehadirannya walaupun agak gementar kerana khuatir tidak dapat berikan terbaik berikutan sibuk dengan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan beliau (Amirudin) sendiri berpuas hati. Saya juga gembira dapat berkongsi proses membuat lemang bersama,” katanya.
Sebelum itu, Amirudin meluangkan malam Aidilfitri dengan bertakbir raya bersama kira-kira 100 jemaah Surau At-Tarbiah, Fasa 4, Taman Melawati di sini.


