AGENDA

Selangor catat kejayaan pungutan hasil dalam tempoh tiga bulan pertama

21 Apr 2023, 8:15 AM
Selangor catat kejayaan pungutan hasil dalam tempoh tiga bulan pertama

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kemampuan Selangor memberi insentif khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri dan persekutuan didorong kejayaan prestasi pungutan hasil dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dato' Menteri Besar berkata selain bantuan satu bulan gaji kepada penjawat awam negeri, manfaat RM200 turut diterima penjawat awam persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di Selangor.

"Alhamdulillah atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023," kata Dato' Seri Amirudin Shari menerusi Perutusan Aidilfitri 2023 hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada umat Islam yang taat dengan masing-masing mencari Lailatul Qadar dan melaksanakan pelbagai kebajikan untuk mengejar mardhatillah.

"Alhamdulillah saya melihat kemakmuran dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seluruh negeri Selangor.

"Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir, anak yatim serta yang kurang berkemampuan," katanya.

Amirudin turut mengajak semua pihak supaya meneruskan kesederhanaan yang ditampilkan sepanjang Ramadan.

"Kesederhanaan ini bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.

"Manfaatkanlah sepenuhnya silaturahim dan ukhuwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.