AGENDA

Selangor perkenal khidmat pindah wang antarabangsa guna e-dompet Wavpay

11 Apr 2023, 12:00 AM
Selangor perkenal khidmat pindah wang antarabangsa guna e-dompet Wavpay
Selangor perkenal khidmat pindah wang antarabangsa guna e-dompet Wavpay

SHAH ALAM, 11 APRIL: Selangor melangkah setapak lagi dalam pendigitalan melalui penyediaan perkhidmatan pindahan wang antarabangsa menerusi aplikasi e-dompet Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay).

Ketua Pegawai Eksekutif Wavpay Brahma Shakthi berkata sistem yang dibangunkan bersama Sunway Money Sdn Bhd (Sunway Money) itu dijangka beroperasi mulai Mei ini.

Beliau menjelaskan ketika ini sasaran utama pengguna adalah pekerja warga asing selain usahawan yang mempunyai urusan perniagaan antarabangsa serta pelajar luar negara.

[caption id="attachment_576311" align="aligncenter" width="767"] Ketua Pegawai Eksekutif Wavpay Sdn Bhd Brahma Sakhti. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

“Pada tahun lepas kita merekodkan pindahan wang daripada warga asing ke luar negara melepasi jumlah RM30 bilion dan ia menunjukkan kita ada peluang pasaran yang besar.

“Antara negara yang merekodkan transaksi terbanyak adalah Indonesia, Bangladesh dan Nepal. Sebab itu sasaran utama kita sekarang adalah pekerja warga asing,” katanya semalam.

Terdahulu beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan pertukaran dokumen antara Wavpay dan Sunway Money di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, EXCO Pelaburan Teng Chang Kim dan Presiden Sunway Group Tan Sri Chew Chee Kin.

Brahma berkata aplikasi ini membolehkan pengguna melakukan pindahan wang selama 24 jam setiap hari serta diterima dalam tempoh kurang daripada lima minit.

Malah, katanya, setiap transaksi juga hanya dikenakan caj sebanyak RM1 berbanding kadar tinggi yang dilaksana perbankan lain.

“Kita akan mulakan sistem ini dengan memperkenalkannya di kilang-kilang pada awal Mei ini bagi membantu pekerja warga asing dalam sistem pindahan wang,” katanya.