GOMBAK, 25 FEB: Sinar kegembiraan terpancar di wajah pesara guru apabila menerima surat kelulusan perlanjutan tempoh pajakan kediamannya di Taman Sri Keramat AU2 di sini hari ini.
Misran Kariati, 75, mengakui lega apabila kebimbangannya selama ini terungkai dan berhasrat mewariskan kediaman yang dihuninya sejak 1980-an kepada anak-anaknya.

“Ini satu-satunya rumah yang saya sayang. Saya beli bersama isteri. Kami sekeluarga sudah tinggal di sini sejak 1980-an.
“Sekurang-kurangnya saya tahu rumah ini boleh diwariskan kepada anak-anak kerana tempoh pajakannya sudah dipanjangkan,” katanya kepada Selangorkini.
Bagi kakitangan swasta, Juliana Tajudin, 38, berkata beliau gembira kerana dapat tinggal lebih lama di kediaman yang diwariskan daripada ibunya.
Menurutnya rumah yang didiami sejak puluhan tahun itu perlu dipertahankan selain mempunyai banyak kenangan manis bersama keluarganya.

“Saya gembira kerana dapat jaminan untuk tinggal di sini lebih lama. Rumah ini ada banyak kenangan, terutamanya kenangan bersama ibu dan ayah,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.
Terdahulu kedua-dua mereka bersama lapan penduduk lain menerima surat kelulusan lanjutan pajakan daripada Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati di sini.
Taman Seri Keramat, AU2 mempunyai pegangan hak milik pajakan selama 99 tahun bermula sejak 1986 dan dijangka tamat pada 2085.
Menerusi perlanjutan itu, perumahan tersebut akan memiliki hak milik pajakan tambahan selama 99 tahun yang berakhir pada 2184.








