ad
AGENDA

Pengusaha tapak perkhemahan diminta sertai bancian, mudahkan kelulusan lesen sementara

21 Feb 2023, 12:00 AM
Pengusaha tapak perkhemahan diminta sertai bancian, mudahkan kelulusan lesen sementara
Pengusaha tapak perkhemahan diminta sertai bancian, mudahkan kelulusan lesen sementara

SHAH ALAM, 21 FEB: Semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diminta mengemukakan maklumat operasi masing-masing kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata pihaknya memohon kerjasama pengusaha untuk terlibat dalam proses bancian yang dijalankan sejak bulan lalu bagi memudahkan proses kelulusan lesen sementara.

“Saya menyeru semua pengusaha tapak perkhemahan menghubungi PBT masing-masing dan menyertai bancian ini bagi membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti semua tapak perkhemahan di negeri ini secara terperinci.

“Selepas itu kita akan bergerak ke hadapan untuk memaklumkan proses bagi mendapatkan pertimbangan kelulusan lesen sementara bergantung kesesuaian tapak perkhemahan,” katanya kepada Selangorkini.

[caption id="attachment_559807" align="alignleft" width="500"] EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap pada majlis ramah mesra bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung sempena Tahun Baharu Cina di Klang Executive Club, Klang pada 8 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata setakat ini Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah menerima beberapa maklum balas melalui bancian tersebut.

“Kedua-dua PBT ini mempunyai banyak lokasi tapak perkhemahan. Terima kasih kepada pengusaha tapak yang telah mengemukakan maklumat operasi mereka.

“Bagaimanapun masih terdapat beberapa PBT yang belum memperoleh sebarang maklum balas daripada pengusaha tapak perkhemahan,” katanya.

Sebelum ini, Sze Han berkata bermula 1 Februari, semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor perlu berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Keputusan itu dicapai menerusi bengkel penyediaan garis panduan pemutihan tapak perkhemahan bersama pelbagai agensi susulan kejadian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember lalu yang mengorbankan 31 nyawa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.