SHAH ALAM, 10 FEB: Tiga individu dihadap ke Mahkamah Telok Datok semalam kerana mengingkari notis yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Menerusi Facebook, MPKL memaklumkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an didapati bersalah kerana membiarkan semak samun di sekitar kediaman mereka di Taman Banting Baru.
Mereka didakwa mengikut kesalahan Seksyen 74, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan didenda RM800 atau sebulan penjara namun mereka menjelaskan denda berkenaan.
Manakala seorang lagi lelaki berusia 60-an yang juga pemilik restoran didapati bersalah mengikut Seksyen 109 Akta 171 kerana mengingkari notis MPKL/JPL/AM/485(1).
"Individu itu didapati tidak mengenakan pelitup muka dan dikenakan denda maksimum RM500 atau sebulan penjara. Pesalah juga didapati mempunyai 10 tunggakan kompaun tidak berbayar sebelum ini," katanya.
MPKL mengingatkan orang ramai sentiasa memastikan kediaman dalam keadaan yang bersih dan teratur serta tidak menimbulkan kacau ganggu kepada jiran dan penduduk setempat.
"MPKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.


