AGENDA

Piala AFF: Garuda ratah Brunei, Thailand mudah jinakkan Filipina

27 Dis 2022, 12:00 AM
Piala AFF: Garuda ratah Brunei, Thailand mudah jinakkan Filipina

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Indonesia melakar kemenangan terbesar dalam kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas berpesta gol membelasah Brunei 7-0 pada aksi Kumpulan A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dicatat skuad Garuda selepas mengatasi Kemboja 2-1 pada aksi pembukaan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Jumaat lepas.

Skuad bimbingan Shin Tae Yong itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Syahrian Abimanyu pada minit ke-20 sebelum Dendy Sulistyawan menggandakan kedudukan empat minit sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, lima lagi gol Indonesia masing-masing disumbangkan Egy Maulana pada minit ke-59, Ilija Spasojevic (minit ke-60), Ramadhan Sananta (minit ke-68), Mark Klok (minit ke-86) dan Yakob Sayuri pada masa kecederaan.

Indonesia kini berkongsi enam mata dengan pendahulu juga juara bertahan Thailand yang turut melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan membenam cabaran Filipina 4-0 di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani pada satu lagi aksi malam ini.

Penyerang prolifik Teerasil Dangda meledak dua gol masing-masing pada minit ketiga dan ke-41 sebelum skuad kendalian Alexandre Polking itu menambah dua lagi jaringan pada babak kedua menerusi penyudah Adisak Kraison minit ke-57 dan Suphanan Bureerat enam minit kemudian.

Indonesia akan melayani kunjungan Thailand pada aksi tumpuan Kumpulan A di Jakarta, Khamis ini dan pasukan yang menang berpeluang cerah mara ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan.

Sebagai rekod, kemenangan terbesar sebelum ini dilakar Vietnam yang menumpaskan Laos 6-0, Rabu lepas. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.