ad
EXCO

LUAS terus pantau lokasi pencemaran, kesan jika ada saki baki cecair minyak wangi

25 Dis 2022, 10:26 AM
LUAS terus pantau lokasi pencemaran, kesan jika ada saki baki cecair minyak wangi

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 25 DIS: Pemantauan rapi di Sungai Limau dan Sungai Semenyih akan diteruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengesan sekiranya ada pengaliran saki baki pencemaran.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dalam kenyataan berkata sumber air mentah berjaya disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 8.30 pagi manakala LRA Bukit Tampoi jam 1 petang.

"Pemantauan di lokasi pencemaran akan diteruskan sebagai langkah siap siaga mitigasi pencegahan segera sekiranya ada lagi penemuan saki baki kesan pencemaran daripada lokasi terlibat.

"Kerajaan Negeri merakam penghargaan kepada agensi yang terlibat seperti LUAS, Air Selangor, SPAN, bomba, Plus, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta IWK atas kerjasama menangani isu ini," katanya.

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu, 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.