ad
AGENDA

Prestasi baik, kuat kerja kelebihan calon HARAPAN di Gombak

9 Nov 2022, 2:48 AM
Prestasi baik, kuat kerja kelebihan calon HARAPAN di Gombak
Prestasi baik, kuat kerja kelebihan calon HARAPAN di Gombak

GOMBAK, 9 NOV: Prestasi baik Dato' Seri Amirudin Shari sebagai pemimpin nombor satu negeri perlu diterjemah pengundi Gombak dengan membawanya ke parlimen.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu ikon anak muda yang boleh menyelesaikan isu pendidikan dan peluang kerja.

"Meskipun beliau tidak menghebohkan segala kerjanya di media sosial tetapi beliau diam-diam cili padi kerana kuat bekerja," kata presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Beliau ditemui pada program Sembang Santai Anak Muda Gombak di sini semalam, yang turut dihadiri Amirudin bagi melontarkan cadangan berkait peluang kerja dan pembangunan sosial.

[caption id="attachment_548286" align="aligncenter" width="700"] Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada orang ramai yang menghadiri program Sembang Santai Anak Muda di Gombak pada 8 November 2022. Foto Twitter Amirudin Shari[/caption]

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Beliau mencabar penyandang tiga penggal kerusi itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Di bawah pentadbiran Amirudin, Selangor menyumbang 24.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berbanding 23.2 pada 2017, ketika Mohamed Azmin menjadi Dato' Menteri Besar.

Negeri itu juga merekodkan rizab simpanan lebih RM3.4 bilion setakat Ogos, tertinggi sejak 2012 selain menawarkan 44 inisiatif bagi menambah baik kehidupan rakyat dengan dana RM600 juta.

Dikenali Iltizam Selangor Penyayang, program meliputi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang memberikan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga berpendapatan rendah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.